Monday, March 21, 2016

Punca makanan ringan diminati ramai

Makanan ringan menjadi satu jenis makanan yang diminati oleh masyarakat kita terutama kanak-kanak.Bincangkan punca-punca makanan ringan begitu popular dalam kalangan masyarakat.


Makanan ringan diklasifikasikan sebagai makanan yang mudah untuk disediakan dan dinikmati oleh masyarakat pengguna tanpa mengira masa. Antara makanan ringan itu meliputi kategori kerepok, gula-gula, manisan dan sebagainya. Pihak media massa sering menyiarkan bahan berita mengenai isu makanan ringan ini yang menjadi kegilaan dalam kalangan kanak-kanak Malaysia. Sebenarnya, ada banyak sebab yang membawa makanan ringan ini menjadi sesuatu yang lumrah di negara ini terutama dalam kalangan kanak-kanak.

Punca utama yang mendorong makanan ringan ini begitu menular dalam masyarakat kita kerana syarikat pengeluar makanan ini begitu bijak merancang strategi pengiklanan produk mereka itu. Bayangkan setiap iklan yang dikaitkan dengan makanan ringan ini pasti melambangkan suasana yang ceria dan penuh rasa seronok yang mudah difahami oleh kanak-kanak kita. Ada juga syarikat yang menawarkan hadiah istimewa setiap kali makanan ringan keluaran syarikat mereka ini dibeli oleh pengguna. Jadi, makanan ringan sudah sebati dalam masyarakat kita kerana kemahiran syarikat pengeluar untuk mempromosikan produk mereka dalam bentuk yang menarik lagi unik.

Selain itu, kanak-kanak melihat makanan ringan sebagai sesuatu yang “cool” atau menarik untuk dinikmati. Pada pandangan mereka, makanan ringan yang dinikmati itu akan menjadikan diri mereka lebih dikenali lalu ditiru oleh rakan-rakan yang lainnya terutama setelah melihat iklan produk tersebut. Makanan ringan telah dikatakan sebagai contoh kehidupan moden yang bersesuaian dengan jiwa kanak-kanak bergaya zaman globalisasi ini. Bayangkan, tidak ada lagi kanak-kanak yang suka menikmati dodol, kuih tempatan atau karipap di kantin kerana melihat makanan itu sudah ketinggalan zaman.

Penularan budaya makanan ringan ini turut dikaitkan dengan mudahnya untuk memperoleh makanan sebegini. Kanak-kanak boleh membeli makanan ini di kedai runcit dan kawasan kantin sekolah pada bila-bila masa pula terutama ketika masa rehat di sekolah. Kanak-kanak mendapati keadaan sebegini memudahkan mereka untuk pergi membeli tanpa sebarang halangan pula. Maka, makanan ringan ini terus menjadi-jadi kerana makanan ini dijual di mana-mana pun.

Kita juga tidak boleh menafikan bahawa makanan ringan itu secara relatifnya lebih murah berbanding makanan lain yang dikatakan lebih berkhasiat itu. Kadar harga yang murah ini kerana makanan ini dihasilkan tanpa khasiat dan begitu mudah cara penyediaannya berbanding dengan makanan lain yang berkualiti itu. Keadaan ini menyebabkan kanak-kanak malah orang dewasa melihat makanan ringan ini sesuatu yang boleh dinikmati sepanjang masa pula. Lama-kelamaan, mereka akan menjadi ketagih dengan makanan ringan ini tanpa disedari pula.

Malahan, ada pihak yang mengaitkan isu ini dengan kekurangan pengawasan ibu bapa yang menjadikannya semakin meruncing itu. Banyak pihak melihat ibu bapa zaman ini terlalu sibuk bekerja sehingga tidak berupaya untuk memantau aktiviti anak terutama amalan pemakanan yang tidak sihat itu. Ibu bapa lebih suka melihat anak mereka gembira menikmati makanan ringan ini daripada menegur golongan muda itu kerana sudah penat bekerja atau tidak mahu menjejaskan hubungan kekeluarga pula. Ketiadaan teguran ibu bapa itu seolah-olah memberikan lampu hijau kepada anak untuk meneruskan amalan yang tidak sihat ini dalam kehidupan mereka itu.

Konklusinya, makanan ringan sudah menjadi satu budaya baru dalam kehidupan generasi moden Malaysia. Kita hendaklah mula berfikir tentang kemelut ini kerana sudah pasti kualiti kesihatan kanak-kanak kita akan terjejas suatu masa nanti. Topik yang meliputi obesiti dan gigi rosak sudah mula menjadi perbualan masyarakat kita ekoran menularnya amalan memakan makanan ringan sebegini. Mungkin sudah sampai masanya, kerajaan lebih tegas dalam memantau penjualan makanan ringan ini terutama di kawasan kantin sekolah dan tempat umum yang lainnya.

No comments:

Post a Comment