Perayaan Di Malaysia

Hari Raya Aidilfiti
Hari Raya merupakan perayaan masyarakat Melayu dan penganut agama Islam. Sambutan Hari Raya Aidilfitri bermula dengan ibadat puasa di bulan Ramadan. Sepanjang bulan Ramadan umat islam berpuasa pada siang hari dan mengerjakan sembahyang terawih pada sebelah malamnya. Zakat fitrah wajib dikeluarkan sebelum 1 syawal di mana Hari Raya Aidilfitri dirayakan. Hari Raya disambut dengan penuh kesyukuran. Umat Islam saling bermaaf-maafan dan kunjung mengunjungi untuk mengeratkan silaturahim. Rumah terbuka akan diadakan bagi mempersilakan tetamu datang berkunjung.


Tahun Baru Cina
Perayaan ini disambut secara besar-besaran oleh masyarakat Cina di Malaysia yang menandakan kedatangan tahun baru menurut kalendar mereka. Orang Cina percaya ada 12 binatang yang menaungi kalendar mereka iaitu tikus , lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam jantan, anjing dan babi. Setiap binatang ini memberi signifikan dan tuahnya tersendiri.

Pada malam Tahun Baru semua ahli keluarga berkumpul beramai-ramai untuk makan bersama.Tujuannya adalah untuk mengeratkan jalinan hubungan sesama keluarga. Ahli kelurga yang telah berumahtangga akan memberi ‘angpau’ kepada saudara mara dan sahabat yang belum berumahtangga. ‘Angpau’ membawa pengertian kesejahteraan yang berpanjangan, ianya sejenis sampul berwarna merah dan diisi dengan sejumlah wang. Buah limau mandarin dan kuih bakul merupakan kemestian yang perlu ada semasa merayakan Tahun Baru Cina.

Sepanjang Tahun Baru Cina berlangsung, tarian singa dimainkan dari rumah ke rumah dan kedai-kedai untuk memberi berkat kepadamereka yang meraikan perayaan tersebut. Penutup kepada perayaan Tahun baru Cina ialah perayaan Chap Goh Meh.

 

Perayaan Deepavali
Perayaan ini disambut oleh masyarakat Hindu. Ianya dirayakan pada bulan gelap bernama ’aippasi’ pada bulan Oktober dan November. Deepavali bermaksud ‘sebarisan pelita’. Dengan memasang pelita, mereka percaya bahawa kecerahan mengatasi kegelapan, kebaikan mengatasi kejahatan, keadilan mengatasi kezaliman dan kebijaksanaan mengatasi kejahilan. Di pagi hari, masyarakat Hindu akan menyucikan tubuh badan dengan memakai sedikit minyak di kepala dan mandi. Kemudian mereka bersembahyang di rumah atau dikuil-kuil.

Selepas bersembahyang, mereka berkunjung ke rumah kaum keluarga.Kebiasannya, surirumah akan menyediakan kotak-kotak kecil berisi manisan dan membawa bersama apabila berkunjung ke rumah saudara-mara mereka. Di kebanyakan rumah, ‘rangoli’ iaitu lukisan yang dibuat daripada tepung beras berwarna-warni akan menyambut tetamu di hadapan rumah.

 

Perayaan Gawai Dayak
Perayaan ini disambut oleh masyarakat Dayak di Sarawak pada 1 hb Jun setiap tahun. Kuih-muih tradisional yang diperbuat daripada tepung beras, gula dan santan disediakan. Tuak merupakan sajian utama perayaan Gawai Dayak. Perayaan Gawai Dayak bermula dengan upacara membuang sial oleh Tuai Gawai. Tuai Gawai memulakan upacara ‘miring’ ini diruai (beranda) rumah panjang. Beliau berdoa supaya dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki. Pada jam 12.00 malam upacara minum air pengayu dilakukan dengan harapan supaya panjang umur, sihat dan makmur. Pada pagi 1 hb Jun, tepat jam 7.00 pagi, tuai rumah dengan diiringi oleh beberapa penghuni rumah panjang menghantar piring persembahan ke tiang pengingat iaitu sejenis kayu yang sering digunakan untuk mendirikan rumah panjang.

 

Perayaan Tadau Keamatan
Merupakan perayaan masyarakat Kadazan di Negeri Sabah pada bulan Mei setiap tahun iaitu sehabis selesai menuai padi. Untuk menyambut Tadau Kaamatan mereka menyediakan kuih-muih dan air tapai. Perayaan ini kebiasaannya diadakan selama dua malam berturut-turut. Malam pertama diadakan upacara ‘magavau’ atau pemujaan semangat padi yang diketuai oleh ‘bobohigan’ dan beberapa orang pembantunya. Pada malam kedua, upacara ‘habot’ iaitu beras yang diperam diberikan kepada bobohigan sebagai tanda kegembiraan dan kesyukuran. Tetamu akan dihiburkan dengan tarian ‘Sumazau’ dan ‘Megalang’ sambil meminum air tapai.

 

Perayaan Krismas
Perayaan ini dirayakan oleh penganut Kristian pada 25 hb Disember sebagai mengingati kelahiran Jesus Christ. Sambutan Krismas dimeriahkan dengan hiasan pohon krismas yang dipasang dengan lampu berwarna warni. Bungkusan-bungkusan hadiah diletakkan di bawah pokok untuk dibuka pada hari tersebut Christmas Carol dinyanyikan di rumah-rumah penganut Kristian oleh kumpulan koir yang diundang. Tuan rumah akan memberi derma kepada kumpulan koir tersebut kerana persembahannya. Pada malam tersebut, mereka bergembira dengan menyanyi dan menari. Kanak-kanak tidak digalakkan mengikut mereka sebaliknya disuruh tidur kerana semasa mereka tidur, mereka percaya Santa Claus akan datang membawa hadiah kepada mereka. Sepertimana perayaan masyarakat lain, pada pagi hari Krismas mereka akan mengunjungi gereja-gereja untuk upacara sembahyang.

 

Pesta Songkran
Songkran merupakan perayaan tahun baru tradisional Siam. Masyarakat Siam di Kelantan turut menyambut perayaan tahun baru ini. Perayaan ini juga dikenali sebagai pesta Songkran. Songkran disambut berdasarkan kepada Kalendar lunar Siam iaitu pada bulan kelima semasa bulan purnama dan jatuh pada hari kelima belas. Sekiranya mengikut kalendar masihi, pesta Songkran ini disambut pada pertengahan bulan April.

Pesta Songkran ini juga lebih dikenali sebagai pesta mandi air iaitu mereka akan menyimbah air sesama mereka dan juga kepada orang ramai. Kebetulan pesta Songkran ini adalah jatuh pada hari yang terpanas dalam satu tahun.

Dalam konteks, Negara Malaysia yang berbilang kaum, kebudayaan dan adat resam, pesta Songkran menjadi simbol perpaduan, kemakmuran dan keamanan dengan penyertaan pemimpin-pemimpin dan masyarakat yang berbilang kaum. Semangat dan nilai-nilai murni yang sejagat dalam Perayaan Songkran seperti berbudi bahasa, menghormati budi dan penghargaan terhadap orang tua, bersopan santun dan bersyukur adalah nilai teras pembentukan masyarakat Malaysia yang berbudi bahasa.

Labels: , , , , , ,