Kebaikan Menyertai PLKN

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dilaksanakan di negara kita merupakan gabungan daripada latihan ketenteraan dan penanaman nilai-nilai patriotik kepada generasi muda ke arah cinta , kasih dan sayang akan negara. Program ini berbeza daripada kerahan tenaga yang dilaksanakan daripada beberapa buah negara lain kerana menggunakan modul dan acuan kita sendiri yang disesuaikan dengan keadaan sosial, budaya dan ekonomi.

Program yang dilaksanakan ini banyak mendatangkan manfaat. Melaluinya remaja dapat menyemai nilai-nilai patriotik yang semakin luntur dalam kalangan remaja pada hari ini. Perubahan masa dan cara hidup pada masa kini menjadikan mereka leka sehingga tidak tahu erti kesusahan dan penderitaan hidup generasi sebelum merdeka.

PLKN juga bertindak sebagai satu makanisme bagi pembentukan disiplin diri remaja. Disiplin diri merupakan asas penting bagi sesuatu kejayaan. Masa lapang selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia diisi dengan kegiatan yang berfaedah dan mendisiplinkan diri dengan jadual yang ditentukan. Program ini juga dapat mematangkan fikiran mereka setelah menjalani latihan dan menguji ketahanan mental dan fizikal.

Program ini yang melibatkan pelbagai kaum juga, dapat memperkukuhkan integrasi nasional. Melalui program ini, remaja daripada berbilang kaum, kebudayaan dan agama dapat dihimpunkan dalam satu wadah bagi menyuburkan semangat perpaduan kaum. Hal ini kerana semasa menjalani aktiviti program mereka tinggal bersama-sama. Jurulatih PLKN juga membantu pelatih memahami cara negara yang merangkumi tanah air, rakyat dan kadaulatan ini ditadbir melalui sistem pentadbiran.

Program yang dilaksanakan dalam PLKN meliputi modul-modul tertentu, iaitu latihan fizikal, kursus bina semangat, kursus bina perwatakan dan khidmat masyarakat. Latihan fizikal PLKN tidak membabitkan penggunaan senjata api atau latihan ketenteraan. Para pelajar akan belajar berkawat, tempur tanpa senjata, pertolongan cemas, merentas halangan dan kegiatan sukan. Melalui asas ketenteraan ini, para remaja didedahkan dengan kemahiran kepimpinan dan ikhtiar hidup.

Secara tuntas, Program Latihan Khidmat Negara yang dijalankan memang mendatangkan kebaikan kepada remaja mahupun negara.. Justeru, semua pihak khususya para remaja dan ibu bapa perlu menyahut seruan kerajaan dengan menyertai program ini.

Labels: , , ,